KEWAJIPAN MENUNAIKAN ZAKAT HARTA

Ibadat zakat merupakan salah satu daripada rukun islam yang lima. Ibadat zakat ini diwajibkan kepada setiap orang islam apabila cukup syarat-syaratnya. Selain melaksanakan perintah Allah s.w.t, tujuan utama ibadat ini ialah untuk membantu umat islam yang memerlukan pertolongan. Sudah menjadi lumrah alam bahawa ada manusia yang senang, susah, kaya, dan miskin. Oleh itu ibadat zakat yang diwajibkan merupakan pembahagian harta kekayaan yang dimiliki oleh golongan kaya kepada golongan miskin mengikut peraturan yang ditetapkan oleh syarak. Dengan cara ini, semua golongan manusia dapat merasai nikmat kurniaan Allah s.w.t yang terdapat di muka bumi ini. Ibadat zakat juga merupakan hubungan individu dengan Allah dan hubungan sesama manusia. Hal ini dapat dilihat melalui pembahagian harta seseorang kepada orang lain mengikt hukum syarak. Selain itu, hubungan yang erat antara sesama umat islam dapat dijalan.

PETA KONSEP

PETA KONSEP

PERANAN ZAKAT

PERANAN ZAKAT



Selain sifatnya sebagai ibadat dalam islam, zakat juga mempunyai objektif kemanusiaan yang nyata. Ia meliputi aspek-aspek kerohanian dan kebendaan yang merangkumi individu dan masyarakat sekaligus. Dalam aspek kebendaan, zakat secara jelas dapat dilihat sebagai salah satu sumber kewangan Negara yang bertujuan khusus untuk membantu orang-orang yang lemah dan memerlukan. Dari segi ini, ia boleh dikatakan tidak berbeza dengan cukai yang dipungut oleh mana-mana Negara daripada rakyatnya. Dalam aspek kerohanian pula, zakat dapat mempertingkatkan nilai hidup berbagai-bagai pihak termasuk pemberi, penerima dan masyarakat umum juga. Malah zakat juga dapat mempertingkatkan nilai harta kepunyaan orang yang mengeluarkan zakat itu. Secara ringkasnya ia boleh dirumuskan seperti berikut:
  • Mempertingkatkan nilai hidup pemberi
    Sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Ambillah sebahagian dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), dengan itu kamu membersihkan mereka (daripada dosa) dan menyucikan mereka (daripada akhlak buruk)….(surah al-Taubah 19: 103). Penyucian yang dimaksudkan dalam ayat tersebut boleh berlaku dalam berbagai-bagai cara dan aspek. Salah satu daripanya ialah menyucikan pemberi zakat daripada sifat kedekut yang sangat dibenci oleh islam. Oleh itu, dengan memberi zakat perasaan kedekut ini dapat dikikis dari semasa ke semasa dan dapat melatih seseorang berbelanja dengan betul. Selain itu, pengeluar zakat juga dapat merasai kemanisan berbelanja pada jalan Allah dan keselesaan melepaskan diri daripada cengkaman perhambaan diri terhadap harta benda. Zakat juga boleh mengubah rasa kasih sayang seorang penerima zakat terhadap pemberi zakat.
  • membersihkan dan menyuburkan harta
    Dalam mencari harta kekayaan, kadang-kadang secara tidak sedar telah berlaku pencerobohan terhadap hak orang lain. Hal ini menyebabkan harta yang dikumpul telah dicemari oleh hak orang lain. Maka, bagi menyucikan kecemaran tersebut zakat perlulah dikeluarkan. Selain itu, zakat juga boleh memperkembangkan harta berkenaan dan menambah keberkatannya. Meskipun pada lahirnya harta bekenaan akan mengalami kekurangan akibat pengeluaran zakat, pada hakikatnya ia akan mempertingkatkan kegiatan ekonomi masyarakat dan mungkin juga akan memberi pulangan yang lebih kepada pengeluar sendiri sebagaimana firman Allah yang bermaksud :“ Katakanlah: Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezki bagi siapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya dan menyempitkan bagi (siapa yang dikehendaki-Nya). dan barang apa saja yang kamu nafkahkan, Maka Allah akan menggantinya dan Dia-lah pemberi rezki yang sebaik-baiknya.”(surah Saba’ : 39)
  • membantu pihak yang memerlukan.
    Ini jelas dapat dilihat daripada senarai golongan yang layak menerima zakat yang terdiri daripada fakir miskin, hamba abdi yang berusaha untuk membebaskan diri, mereka yang dihimpit beban hutang, mereka yang keputusan belanja dalam perjalanan dan sebagainya. Pemberian zakat kepada golongan yang memerlukan ini akan dapat menampung keperluan hidup mereka dan mereka tidak akan merasa tersisih daripada masyarakat serta tidak menyimpan perasaan dengki kepada pemilik harta.
  • Memperkukuhkan Jaminan Sosial
    Pemberian zakat kepada fakir miskin dan pihak-pihak yang memerlukan bukan sahaja memberi kesan kepada mereka secara individu tetapi juga kepada masyarakat secara keseluruhannya. Bantuan yang diberikan ini, bukan sahaja boleh melegakan seseorang itu secara peribadi tetapi boleh menjadikannya lebih aktif dan masyarakat mendapat faedah daripada aktivitinya itu. Hal ini boleh disifatkan sebagai jaminan keatas semua pihak yang memerlukan sama ada dari segi fizikal, mental ataupun moral.



sumber: Pengurusan ZAKAT, Mahmood Zuhdi Abd. Majid. Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur.2003

0 comments:

sumber rujukan

1. Pendidikan Islam, 2008 , Hamil @ Amir Abdullah dan Mohd.Shukri Othman, Sasbadi Sdn. Bhd: Selangor.

2. Pengurusan ZAKAT, Mahmood Zuhdi Abd. Majid. Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur.2003

3. Revisi Prioriti PMR Pendidikan Islam, Ustaz Hamil @ Amir Abdul Hameed. Sasbadi Sdn. Bhd.2003

4. http://www.zakatsel.com.my/baru/index.asp